Alhamdulillah ..tiada apa yang lebih menggembirakan saya apabila berjaya mendapat keputusan yang "cemerlang" (bagi saya) dalam pengajian Master saya ini. Pointer saya sedikit meningkat semester ini. Alhamdulillah, berjaya mengekalkan Anugerah Dekan untuk dua semester. Dan yang paling membahagiakan tidak lain tidak bukan apabila dapat score A dalam subjek Child Law Datin Aziah. Saya memang dari awal tidak menaruh harapan untuk dapat A dalam subjek ini. Saya banyak mendengar dari kawan-kawan dan senior bahawa subjek ini jangan mimpi nak dapat A.
Tapi, saya memang nekad, tujuan saya untuk ambil subjek ini bukan kerana saya nak score yang A itu..Jika dapat, ia adalah bonus! Tapi yang lebih utama ialah saya memang bercita-cita dari dulu untuk mendalami undang-undang kanak-kanak ini dan saya memang MINAT. Faktor saya memilih menyambung pangajian sarjana di UKM pun kerana ada subjek Child Law. Malah, saya berangan-angan, jika saya diberi peluang untuk sambung PhD pun, saya akan buat mengenai undang-undang kanak-kanak ini. Dan Alhamdulillah saya berjaya. Terima kasih pada Datin Aziah yang memberi semangat dan doa! Saya amat menghargainya.
Alhamdulillah, saya juga gembira kerana insyaAllah akan grad dengan kepujian kelas pertama. Tidak terbayang oleh saya akan nikmat yg Allah berikan ini. Saya yakin dan percaya ia adalah hadiah yang sangat berharga dan bermakna pada saya atas pengorbanan, kecekalan dan ketabahan saya selama ini. Saya berjaya menamatkan master dalam setahun (bersamaan 2 semester).
Dengan subjek yang diambil agak padat (4 subjek satu semester). Sebenarnya, saya tak punya pilihan untuk menangguhkan atau mengurangkan bilangan subjek yang diambil kerana dengan menangguhkan pengajian bermakna semakin banyak kos yang terpaksa ditanggung. Saya menyambung master dengan duit simpanan sendiri ( yang disimpan ketika bekerja dahulu) dan bekerja juga sebagai GRA untuk mendapatkan sedikit duit poket buat membeli buku dan belanja makan dan perjalanan ke kelas. Selain ketiadaan teman sehidup semati di sisi saya untuk meluah masalah dan memohon bantu; kerana En. Suami juga turut menyambung pengajian Sarjana di Universiti Durham, United Kingdom . Saya kuatkan juga semangat!
Selain itu, saya turut memberi tumpuan membesarkan anak-anak saya yang masih kecil. Faham sahaja ragam anak-anak kecil. Sakit dan demam mereka, keperluan mereka. Malah jika saya ada di rumah, saya memang tak sampai hati menghadap lap top untuk buat kerja. Aishah ya, sudah memahami. "Oh, ummi buat esement ye", tapi Khadijah, dia akan memanjat-manjat saya minta diambil. Pada mak, memohon bantu dijaga sebentar anak-anak sepemergian saya ke kelas saban hari selepas Asar hingga kadang-kadang selewat 11 malam, baru sampai kembali di rumah. Perjalanan 1 jam 10 minit setiap pergi dan balik dari kelas, memang memenatkan! Lebih-lebih lagi di malam hari mendaki dan menurun Bukit Tangga. Namun, alah bisa, tegal biasa!
Allahuakbar, bukan sedikit air mata yang tumpah! Menginsafi kelemahan dan kekurangan diri sendiri! Tertekan? Itu sangatlah pasti! SUNNGUH! Tak tergambar semua yang dilalui. Hanya Allah yang Tahu. Sering saya bermonolog pada diri sendiri; ya, bukan cinta sahaja penuh dengan air mata, saya yang sedang belajar ini pun tak lepas dari air mata. Pada mak lah tempat mengadu, sekadar melepas lelah di hati, dan kembali mencari kekuatan diri.
Saya tahu, kawan-kawan sepengajian pun memang ramai yang mendapat keputusan cemerlang, malah lebih baik dari saya. Tapi ini adalah ekspresi kegembiraan saya atas kejayaan yang saya kecapi ini. Pastinya versi saya sendiri. Saya berdoa, agar laluan saya akan semakin mudah selepas ini seterusnya memburu cita-cita saya.
Dedikasi terima kasih tak terhingga kepada En. Suami yang memberi peluang saya menyambung belajar, Redha, Bantuan, Sokongan, doa dan kasih sayang. Jutaan terima kasih pada mak, insan yang terlalu banyak berkorban untuk saya sedari kecil hingga ke saat ini. Angah akan selalu doakan kebaikan untuk mak dunia akhirat.
Juga buat anak-anak yang sangat memahami, Aishah Humaira dan Khadijah Safiyya. Ummi memang sayangkan kalian sepenuh hati. Pada kawan-kawan sepengajian yang sangat memahami dan memberi semangat; kakak Ad (terima kasih ajar saya), Awin (teman mendengar masalah), adik Fauziah, adik Sayzrah ( yang sering menjadi peneman akak), Da, Kak Nora, Hadi, Sayuti dan lain-lain. Budi baik kalian akan tetap saya kenang dan Allah sahajalah yang membalas kebaikan kalian pada saya.
No comments:
Post a Comment